Bab
21
Alhamdulillah,
setelah dua minggu menghabiskan pelajaran, dan menjadi penganggur terhormat.
Akhirnya Dannia berjaya menjawat jawatan sebagai kerani biasa walaupun di
syarikat kecil. Biarlah, asalkan dia tidak terperuk di rumah. Ibunya sendiri yang
membenarkan dia mencari pengalaman kerja sebelum melanjutkan pelajarannya
nanti. Ada juga abangnya mengajak Dannia
bekerja dengannya, namun ditolaknya dengan baik. Dia mahu berdikari sendiri
tanpa bergantung pada abangnya. Walaupun pun sebagai kerani biasa, Dannia
seronok dengan pekerjaan yang disandangnya sekarang.
Pada mulanya dia sedikit kekok
dengan kerjanya, tambahan lagi dengan suasana baru di negeri orang. Setelah
seminggu berpindah ke Johor, Dannia mula merasa selesa. Malah berasa seronok
dengan bandar baru yang di diaminya. Walaupun lebih besar dan lebih sibuk
berbanding di negeri Kedah namun jauh dengan orang orang yang menyesakkan
kepalanya. Malah semakin seronok bergaul dengan orang ramai. Dulu dia hanya
mempunyai Hanna dan beberapa rakan sebagai teman, kini dia dia berasa seronok
dengan kehidupan yang dijalaninya sekarang. Lebih senang dan bahagia.
“Tak balik lagi Nia?” sapa Milla,
kerani senior yang sudah hampir tiga tahun bekerja di situ.
“Belum Kak, banyak kerja yang masih
tak siap ni.” Dannia membalas pertanyaan Milla yang lebih tua darinya. Matanya
masih belum mengalihkan daripada komputer. Tangannya tekun menari di atas
kekunci komputer memasukkan data.
“Rajin betul Nia ni. Hari ni
sepatutnya kerja separuh hari aje. Sudah sudah lah tu Nia, dah tak ada orang
kat sini. Akak dah nak balik ni.” Milla mengemas meja berhampiran darinya.
Bersiap untuk pulang.
Dannia meliarkan pandangannya di
sekeliling. Betul kata Kak Milla, pejabat yang dihuninya sudah sepi. Tidak
perasan akan peredaran masa yang sudah lama tamat. Dannia tersenyum sendiri
kerana terlalu khusyuk, dia tidak sedar waktu pejabat sudah lama tamat, bahkan
kawan sepejabatnya beransur pulang pun dia tidak sedar.
“Kejap kak, bagi Nia sepuluh minit.”
dia perlu menyiapkan data terakhir dalam muka surat itu, mudah untuknya minggu
depan untuk dia menyambung kembali. Cuma hanya mengingati nombor muka surat.
Milla mengangguk kepala tanda setuju
untuk menunggu Dannia. Dia sendiri tidak akan meninggalkan Dannia di pejabat
itu seorang diri. Takut jika apa apa yang berlaku kepada gadis itu, walaupun
gadis itu sudah biasa di situ. Hatinya menjadi bimbang dan rawan apatah lagi
gadis seperti Dannia masih mentah. Jam menunjukkan tepat jam dua belas lima
belas tengah hari, barulah dia beransur pulang beriringan dengan Kak Milla.
Tiba di lobi mereka berpecah menuju ke kenderaan masing masing.
Dannia memandu pulang, sempat dia
singgah ke kedai buku membeli sebuah novel untuk dibaca sepanjang dia cuti dua
hari. Novel Aku Bukan Mistress menjadi pilihannya. Tidak sabar dia mahu membaca
novel yang menarik perhatiannya. Seorang gadis yang menjadi perempuan simpanan
akhirnya jatuh cinta dengan masternya sendiri dan hidup bahagia walaupun begitu
banyak halangan. Berbeza sungguh dengan hidupnya, mempunyai suami tetapi
ditinggalkan atau lebih mudah digantung tak bertali. Sekurang kurangnya Mya
Arlissa beruntung mempunyai lelaki yang mencintainya sepenuh hati. Tapi dia??
Tiada. Sifar. Kosong.
Kereta Vivanya memasuki taman yang menuju
ke rumah yang di diaminya sejak seminggu yang lalu. Namun hatinya sedikit pelik
apabila melihat dua buah kereta mewah yang tersadai di halaman rumahnya. Ish,
takkan salah rumah kot. Betullah ini memang rumahnya. Memang tidak syak lagi
apatah melihat kereta Syahmin juga turut tersadai elok di situ.
Kereta
siapa pula ni? Ibu ada buat majlis ke, tapi kenapa dia tidak diberitahu apa apa
pun. Takkan nak meminang pulak kot, agak agaklah ibu dan abah pun aku ni masih
isteri orang walaupun tak ada suami di sisi. Dannia mengetuk kepalanya perlahan.
Apa yang kau fikir ni Dannia? Takkanlah ibu dan ayah boleh lupa kot. Tak pun
kawan-kawan abangnya. Manalah tahu...
“Apa yang duk ketuk kepala tu. Sakit
kepala ker?” tersentak apabila satu suara garau menegurnya dari belakang ketika
dia masih ralit memerhati kereta yang tersadai di situ. Cuba mengingati nombor
plat. Manalah tahu jika dia terlupa. Tangannya masih berada di kepala diusapkan
ke dagunya pula. .Macam penarik kereta pun ada gayanya. Dannia terkejut dengan
sergahan dari belakang. Pantas dia memandang ke arah lain. Dia malu sendiri
kerana tertangkap ketika sedang meneliti kereta orang.
Dannia lantas memusingkan badannya
untuk melihat arah datang suara garau itu. Bulat matanya memandang lelaki tubuh
tegap yang elok bersandar pada dinding bersebelahan pintu masuk sambil berpeluk
tubuh memandangnya. Zafrey!! Dia ni suka buat kejutan pada semua orang. Macam
mana pula dia tahu alamat tempat tinggalnya sekarang. Tak mungkin Hanna, gadis
itu sudah berjanji untuk tidak memberitahu apa-apa jika ada orang yang
mencarinya.
“Abang Zaf. What are you doing here?” Dannia memeluk tubuhnya sambil menghampiri
Zafrey.
“Kenapa. Tak boleh ke abang nak ada
kat sini?” Zafrey bertanya kembali tanpa menjawab soalan Dannia. Cuba bermain
tarik tali. Membiarkan gadis itu tertanya tanya..
“Bukanlah. Just curious. Macam mana abang Zaf tahu Nia tinggal kat sini. Nia
tak pernah bagitahu kan?” Dannia mula berfikir, manalah tahu jika dia yang
terlupa..
“Masuklah. Yang tercegat kat situ
buat apa. Masuk, jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri.” Zafrey tanpa segan menjemput Dannia masuk dengan
sengihan melebar yang terukir di wajahnya. Gadis itu menjeling geram.
Ceh,
jemput aku masuk dah buat macam rumah sendiri pulak. Tak tahu malu betul..Ni
yang buat aku makin konfius ni. Ni rumah aku ke rumah mamat ni...’
“Masuklah Nia oi, saya tahu lah ini
rumah awak.” Zafrey sekali menjemput Dannia masuk, dia beralih ke tepi untuk
memberi laluan kepada gadis itu. Tanpa menunggu masa, Dannia melangkah masuk
dan memberi salam. Sekali lagi dia terkejut melihat wajah wajah yang terpamer
dihadapannya.
“Auntie, uncle apa khabar?” Dannia
menghampiri ibu dan abahnya untuk bersalam, kemudian beralih pula ke arah Puan
Sri Kamilia. Dannia mengambil tempat bersebelahan dengan Puan Diana.
“Salam uncle sayang..” Puan Diana
menegur Dannia. Dipandang wajah ibu dan abahnya pelik dan meminta penjelasan.
Takkan mahu salam, bukan muhrim kan? “Salam sayang..” Puan Diana berkata lagi,
lebih lembut itonansinya sambil menepuk perlahan bahu Dannia. Dia terus bangun
dan menapak perlahan ke arah Tan Sri Razif. Lelaki itu tanpa banyak soal
terlebih dahulu menghulurkan tangannya. Kerutan di dahinya bertambah. Tidak
pernah ibunya berperangai demikian. Di suruhnya bersalam dengan lelaki yang
bukan muhrim. Tak ke pelik namanya?
“Aunty datang dari mana?” Dannia menagih
jawapan daripada Puan Sri Kamilia. Sedari tadi, Puan Sri Kamilia tidak lepas
dari memandangnya. Setiap gerak gerinya diperhatikan tanpa jemu. Dannia tidak
dapat mentafsir pandangan Puan Sri Kamilia sehingga terasa kekok dirinya.
Suasana yang dirasakan begitu canggung.
“Dari rumah. Nia kerja kat mana
sementara tunggu result ni?” Puan Sri kamilia bertanya, matanya masih terpaku
pada wajah Dannia. Walaupun sudah bertentangan mata, dia masih terasa rindu.
Ingin sekali dia memeluk Dannia terus ke dakapannya. Suaminya disebelah
mengusap lembut tangan tuanya. Cuba menenangkan dirinya dek kerana keresahan.
“Kerja kat Syarikat biasa biasa aje sebagai kerani.”
“Seronok kerja kat situ?” tanyanya
lagi. Cuba beramah mesra.
“Best.
Dapat ramai kawan. Aunty nak datang sini tak bagitahu pun.” Dannia kembali
bertanya apabila teringat kembali kedatangan mengejut Tan Sri Razif sekeluarga.
Matanya meliar mencari Zafrey, namun tidak kelihatan pula. Entah ke mana pula
perginya lelaki itu. Oh ya, Ezmiel pun tidak kelihatan batang hidungnya. Tidak
datangkah lelaki yang terlebih mesra itu?
“Saja. Aunty nak buat kejutan untuk
Nia.”
“Tapi macam mana boleh tahu Nia
tinggal kat sini?”
“Adik, jangan banyak tanya. Tak
kesian ke kat aunty, dari tadi mulut adik pot pet tak berhenti. Aunty baru
sampai tu, biarlah dia berehat. Apa kata adik naik, pergi mandi dulu.” Puan
Diana yang perasan akan keresahan Puan Sri kamilia terus menghentikan
pertanyaan demi pertanyaan dari mulut comel Dannia.
“Ish ibu ni.. Yalah. Nak borak sikit
pun tak boleh.” Dannia memprotes, memuncung mulutnya.
“Bukan tak boleh. Adik naik dulu
bersihkan diri, lepas makan nanti kita borak panjang ya.” Puan Diana
menggelengkan kepalanya melihat telatah keanakan Dannia. Masih tak berubah,
macam budak budak.
“Yalah, Nia naik dulu aunty, uncle.”
Dannia bangun dari sofa dan
melangkah memanjat tangga menuju ke biliknya. Sempat matanya meliar mencari
abang Longnya. Oh, lupa hari ini kan hari jumaat, mesti dia sembahyang jumaat
tu. Tan Sri Razif mungkin tak sempat nak singgah dengan keadaan diriya tak
sempurna. Tapi Zafrey??
Dannia merebahkan dirinya ke atas
tilam empuk miliknya. Dirinya amat letih kerna tidak cukup tidur. Semalam dia
terlewat tidur kerana menyiapkan novelnya apatah lagi ideanya datang mencurah
curah. Dia seronok dengan kerja yang dibuat, terasa seronok kerana novelnya
mendapat sambutan yang menggalakkan. Terasa satu perasaan yang tidak
digambarkan, apatah lagi jika membaca komen yang ditinggalkan pada ruangan
blognya. Kata kata semangat untuknya. Sedar tak sedar jam menginjak ke angka
tiga pagi barulah dia berhenti. Itupun terasa matanya sudah memberat.
Matanya kian memberat ketika
berguling guling di atas katil. Rasa mengantuk yang ditahan dari pagi ke
pejabat sehingga pulang semakin menggamitnya untuk tidur. Dia melihat sekilas
jam di dinding, awal lagi ni. ‘Tidur la kejap’. Sempat dia mengunci jam sebelum
matanya tertutup rapat kemudian sudah tidak sedarkan diri.
Sementara di bawah, Puan Sri Kamilia
resah menanti. Terasa masa yang bergerak terlalu lama, tidak tenang hatinya
jika perkara yang ingin disampaikan belum diluahkan pada Dannia. Tan Sri Razif
pula membaca akhbar untuk menutup gugupnya sementara menunggu Encik Zamani pulang
dari masjid solat jumaat. Entah bagaimana penerimaan Dannia terhadap mereka. Dokumen
penting juga dibawanya bersama sebagai bukti andai kata gadis itu masih ragu
ragu.
“Sabarlah Puan Sri, saya yakin
Dannia dapat terima ini semua. Berdoalah semoga Dannia berlembut hati. Jangan
bimbang ya. Nanti saya tolong.” Puan Diana memegang lembut tangan wanita anggun
dihadapannya. Dia meneliti segenap wajah Puan Sri Kamilia. Ya, dia dapat lihat
persamaan wajah Dannia dan iras Tan Sri Razif pada wajah itu. Hatinya bercampur
baur dengan perasaan sedih dan gembira. Sedih kerana mungkin selepas ini Dannia
tidak lagi sentiasa berada di sampingnya, menemaninya seperti dahulu. Dan
gembira apabila doa Dannia termakbul untuk bertemu dengan keluarga kandungnya.
Mana mungkin untuk dia menidakkan
semua itu. Bukti sudah terjelas dan terpampang di hadapan mata. Sebelum
kepulangan Dannia lagi, Tan Sri Razif dan Puan Sri Kamilia sudah menjelaskan
kedudukan dan keadaan yang sebenar. Apatah lagi dia juga turut mempunyai bukti
DNA dan sijil kelahiran Dannia yang asli. Sijil kelahiran yang ada padanya
bukan dokumen asal. Kata penjaga di rumah anak yatim, keluarganya hanya meninggalkan
salinan pada mereka. Senang jika dia mahu mengambil kembali anaknya.
“Entahlah kak, saya bimbang jika dia
tak dapat terima kenyataan ni. Saya takut dia akan membenci kami nanti.” Puan
Sri Kamilia mengutarakan kegusarannya.
“Jangan bimbang, Nia akan faham
nanti. Kita bincang elok elok, bagitahu cerita yang sebenar.” Puan Diana
mententeramkan resah wanita dihadapannya.
“Entahlah, saya harap lepas ni baik
baik saja. Saya redha dengan keputusannya.”
“Belum cuba belum tahu Puan Sri. Erm
duduk dululah, saya nak ke dapur siapkan makanan. Nanti bolehlah kita makan.”
Puan Diana meminta diri untuk ke dapur. Dia perlu memasak untuk tetamunya
menjamu selera.
“Biar saya yang tolong.” Puan Sri
Kamilia lantas bangun mengikuti Puan Diana. Terasa tidak enak mahu bergoyang
kaki di rumah itu. Lagi pula dia sudah membiasakan diri dengan semua itu ketika
dirumah walaupun mempunyai ramai pembantu. Puan Diana bercerita serba sdikit
tentang dannia kepada Puan Sri Kamilia. Diceritakan semuanya sepanjang dannia
meningkat dewasa dan juga tentang perkahwinan Dannia. Ternyata Puan Sri Kamilia
langsung tidak terkejut apa yang diceritakan oleh Puan Diana. Dia sendiri telah
mengetahui sejak dari awal lagi, tetapi tidak diceritakan kepada Puan Diana.
Dia tidak mahu Puan Diana berasa bersalah kerana perkahwinan Dannia adalah dari
permintaan wanita itu dan suaminya.
Setelah makan tengah hari, Dannia
sekeluarga dan keluarga Zafrey semua
berkumpul di ruang tamu milik Encik Zamani. Walaupun kecil, namun masih
memuatkan ramai orang dan selesa. Dannia hanya mengikut kata ibunya. Di dalam
hati, sudah banyak persoalan muncul di minda. Pelbagai bagai telahan yang
dibuatnya.Tetapi semuanya tidak logik pula bila difikirkan kembali...
“Ehem, adik mesti tertanya tanya kan
akan kedatangan keluarga Tan Sri ni..” Abah memulakan bicara. Tetapi soalan
pertamanya ditujukan ke arahnya. Dannia hanya mengangguk perlahan.
“Abah rasa, tak perlulah abah
kenalkan mereka satu persatu dan abah yakin adik dah kenal dengan semua yang
ada di sini kan?” Dannia mengangguk lagi mengiakan. Hatinya sedikit resah.
Berdegup kencang menunggu bicara yang keluar dari mulut Encik Zamani.
“Terlebih dahulu, sebelum bercerita
abah minta maaf kalau kata kata abah mengguris hati adik. Tapi inilah kebenaran
dan keyataan yang sebenarnya. Abah nak adik terima semua ini dengan hati yang
tenang.” Encik Zamani mengeluh perlahan, nadanya sayu sahaja. Kata kata Encik
Zamani sudah membuatnya tidak tenang dan cemas. Dannia menunggu dengan sabar,
walaupun terasa dadanya ingin pecah.
“Nia tahu kan, abah dan ibu bukan keluarga
kandung adik?” satu soalan yang sudah cukup menghancurkan hatinya. Sampai hati
abah bertanya begitu kepadanya. Selama ini Encik Zamani pantang dengan
kewujudannya dipersoalkan. Tetapi hari ini... Dia mengangguk lemah. Air matanya
sudah bergenang.
“Bukan maksud abah untuk menghalau,
tapi hari ini terpaksa abah dan ibu melepaskan adik pergi kerana keluarga adik
masih memerlukan adik di sisi mereka.” sendu suara abahnya berkata. Wajah
ibunya dipandang, merah muka ibunya menahan tangis.
“Apa maksud abah?” bergetar suaranya
kedengaran. Begitu payah dia mahu mengeluarkan suara hanya untuk beberapa patah
perkataan. Perit, sakit dan pilu semuanya bersatu.
“Ini keluarga kandung adik yang
sebenar. Ibu dan ayah kandung adik. Mereka datang sini mahu membawa Nia balik
kepangkuan mereka.” Dannia memandang satu persatu wajah di hadapannya. Lama
matanya jatuh pada seraut wajah yang selalu menghubungi dan bertanya khabar.
“Ini semua tak benar kan?” lirih
hatinya. Dia tidak mampu untuk meninggalkan keluarga yang selama ini dianggap
keluarga kandungnya demi keluarga sebenar yang muncul.
“Kami tak tipu. Kami adalah keluarga
kandung Nia. Mama dan papa Nia yang sebenar.” Puan Sri Kamilia bersuara
perlahan, persis memujuk.
“Tak mungkin. Kenapa sekarang baru
cari Nia? Kenapa dahulu buang, sekarang terhegeh hegeh nak kutip kembali.” Dia
menangis hiba. Jadi inilah keluarga yang sanggup buang dirinya dahulu tanpa
perasaan. Tetapi kenapa sekarang mahukan dirinya.. dirinya ditolak dan di tarik
sesuka hati. Aku bukan boneka.. aku ada hati, cukup dengan perkahwinan aku
hancur, kini datang lagi manusia yang mahu menghancurkannya menjadi lebih
lumat.
“Kami tak pernah buang Nia. Tapi
dipisahkan oleh seseorang yang mencemburui kebahagiaan mama dan papa. Dan juga
kerana harta.” Tan Sri Razif yang tadi diam pula bersuara.
“Saya tak percaya Tan Sri. Maaf,
saya tiada masa mahu mendengar ini semua. Maafkan saya.” Tanpa menunggu bicara
seterusnya Dannia berlari menuju ke biliknya. Yang lain hanya diam membisu,
sesekali Puan Diana dan Puan Sri Kamilia mengesat air mata. Kecewa dengan
Dannia. Tan Sri Razif memicit dahinya.
“Biar Zaf yang pujuk dia. Boleh
tunjukkan bilik dia yang mana?” Zafrey meminta kebenaran setelah semuanya diam
membisu. Syahmin bingung, terasa berat mahu menerima semua ini. Adik yang
disayangi akan meninggalkan keluarga mereka.
“Tingkat atas, bilik paling hujung.”
Encik Zamani memberitahu. Ingin dihalang, tidak mampu. Zafrey ada hak ke atas
Dannia.
‘Terima kasih pak cik.” Zafrey
sempat mencapai sampul surat sebelum berlalu ke bilik Dannia. Dia perlu
memebawa surat itu bersama sebagai bukti, jika gadis itu bertanya nanti.
Setibanya di depan pintu yang dimaksudkan oleh Encik Zamani, dia mengetuk
perlahan. Berkali kali namun sepi.
“Abang masuk ya.” Zafrey menarik
nafas dalam sebelum menghembusnya perlahan. Daun pintu ditolak perlahan.
Kelibat Dannia kelihatan di atas katil. Mukanya ditekup dengan bantal,
kedatangannya langsung tidak dihiraukan. Dengan teragak agak Zafrey melabuhkan
punggungnya di birai katil. Bilik itu diperhati sebelum pandangannya jatuh pada
tubuh adiknya.
“Nia..” bahu Dannia disentuh dan
diusapnya perlahan. Cuba meredakan hati kecil milik gadis itu.
“Abang tahu apa yang Nia rasa
sekarang. Tapi percayalah cakap mama dan papa. Mereka tak pernah berniat mahu
berpisah dengan Dannia. Ianya kerana kerana perbuatan khianat.” Zafrey berhenti
sebentar, Dannia masih tidak berkutik dari duduknya. Namun langsung tidak
menghiraukannya.
“Nak dengar tak cerita abang ni?”
Zafrey bertanya bertanya perlahan untuk menarik Dannia supaya bersuara. Tetapi
Dannia diam membisu. Denagn perlahan bahu Dannia ditariknya supaya bangun dan
duduk di sebelahnya. Gadis itu hanya menurut, tangisannya masih bersisa dan
teresak kecil.
“Berhenti menangis. Dan dengar apa
yang abang Zaf nak ceritakan. Alkisah pada suatu masa dahulu...” Dannia
menjelingnya tajam. Terus kata katanya terhenti dan tersengih sebelum
mengangkat tangannya meminta maaf. Lawaknya tidak menjadi..huhuhu.. Dannia
hanya masam, tiada masa dia mahu melayan lawak Zafrey..
“Okey, dulu masa Nia dalam kandungan
atuk meninggal. Masa tu Abang Ez dan Abang zaf kecil lagi. Tak tahu apa apa
pun. Semua saudara mara kita berebutkan harta atuk. Semasa atuk masih hidup
mereka semua tidak pernah menghiraukan keadaan atuk. Papa dan mamalah orang
yang bersusah payah jaga atuk seorang diri. Yang lain hanya tahu menghabiskan
harta. Semasa wasiat dibacakan, semua adik beradik tiri papa tak puas hati
sebab papa dapat harta yang paling banyak. Mereka mengata papa macam macam.
Sehinggalah suatu masa, mama nak bersalin dan lahirkan Nia, kesempatan tulah
adik tiri papa gunakan untuk serahkan semua harta yang dimiliki oleh keluarga
kita kepadanya. Dia menculik Nia dan dijadikan tebusan. Papa turutkan jugak,
tetapi semasa papa pindah milik harta, adik tiri papa ternyata menipunya. Nia
di serahkan kepada oarang lain. Puas papa memujuk adik tirinya supaya
kembalikan Nia pada keluarga. Namun nasib baik juga papa dah laporkan tentang
penculikan tu. Lepas tu adik papa mati terkena tembakan kerana cuba membunuh
mama. Adik papa meninggal kat situ juga, tapi tak sempat beritahu keberadaan Nia.
Masa tu, mama dan papa paling sedih..mama macam dah berputus asa nak hidup...”
Zafrey berhenti seketika. Menarik nafas menahan sebak menginggati kembali
kejadian yang menimpa yang hampir memusnahkan keluarganya..
Zafrey mengusap perlahan kepala
Dannia sebelum dibawa kebahunya untuk bersandar.
“Kerana kehilangan Nia, mama
berputus asa untuk hidup..mujur sahaja kami berdua ada, kerana kami berdua mama
teruskan perjuangan dan berazam untuk mencari Nia kembali. Mama tak pernah
lupakan Dannia. Setiap hari dia berdoa supaya kita dapat bersatu kembali. Kalau
nia tak percaya, mama selalu membelikan hadiah untuk Dannia setiap kali ulang
tahun Nia. Kemudian disimpan rapi di dalam almarinya.” Zafrey mengusap pula
pipi Dannia, menghapuskan air mata yang mengalir. Dirinya turut berasa sebak,
air mata di tubir mata dikesatnya dengan jemari kasar.
“Nia nak tahu, selepas bertahun
lamanya kami menunggu, secara tidak sengaja kita dipertemukan di Pulau Redang.
Nia masih ingatkan?” Zafrey bertanya. Dannia mengangguk perlahan. Mana mungkin
dia lupa perkenalan mereka itulah yang membawa kepada kebenaran hari ini.
“Kalau Nia nak tahu, sejak kali
pertama pandang wajah Nia, abang dah perasan iras muka antara mama dan Dannia.
Muka Nia sebijik macam muka mama waktu muda. Abang sengaja ajak Nia ke majlis
tu untuk perkenalkan Nia pada mama dan papa.”
Masih terbayang di ingatannya, muka
Tan Sri dan Puan Sri saat pertama kali mereka bertentang mata. Dirinya tertanya
tanya tentang kelainan di wajah keduanya. Tidak disangka pula mereka menahan
perasaan. Puan Sri sibuk berborak dan bertanya perihal keluarganya ketika
mereka keluar pada keesokkan harinya.
“Papa suruh Abang mengupah penyiasat
untuk menyiasat tentang latar belakang Dannia. Alhamdulillah, ternyata doa mama
dimakbulkan. Dannia adik kandung abang yang dicari selama ni. Abang bersyukur
sangat. Mama dan papa membuat sujud syukur.”
“kenapa tak berterus terang saja
pada Nia waktu kita jumpa dulu?” Dannia mula bersuara. Zafrey tersenyum
kegembiraan melihat reaksi positif Dannia.
“Time tu kan Nia ada exam. Abang tak
mahu Nia kusutkan kepala dengan semua ni. Biarlah satu satu. Nia boleh terima
kami kan?”
“Urmh...” hanya anggukan yang
diterima, namun sudah mampu mengembirakan hatinya.
“Lepas ni Abang zaf nak Nia cakap
elok elok dengan mama dan papa. Jangan lukai lagi perasaannya. Boleh?”
Dannia mengangguk lagi.
Bunyi ketukan dari luar menyentakkan
mereka berdua. Kemudian muncul wajah Ezmiel dengan senyuman manis. Dia
melangkah menuju ke arah mereka berdua sebelum melabuhkan duduknya di sisi kiri
Dannia.
“Nia ok?” Ezmiel memandang Dannia.
Gadis itu hanya tersenyum.
“So sekarang ni bolehlah abang Ez
pula yang peluk Nia. Rindunya pada adik abang yang seorang ni. Rindu sangat...”
Ezmiel memeluk Dannia ke dalam pelukannya. Erat. matanya memandang abang
sulungnya, tersenyum terharu, lebih kepada gembira. Akhirnya keluarga mereka
bersatu semula setelah sekian lama. Mereka saling berpelukan erat sebelum
masing masing dilepaskan.
“Jom kita turun. Jumpa papa dan
mama.” Ezmiel menarik perlahan tangan Dannia mengajaknya untuk bersua muka
dengan Tan Sri dan Puan Sri. Dannia hanya mengikuti langkah kedua abang
kandungnya. Setibanya di ruang tamu, Dannia terus meluru memeluk Puan Sri
Kamilia.
“Maafkan Nia, kerana bercakap kasar
tadi.” Tangan Puan Sri kamilia dikucupnya memohon maaf. Kemudian tangan Tan Sri
Razif pula dicapai sebelum dikucupnya. “Maafkan Nia ,papa.” Tan Sri Razif
memeluknya pula ke dakapannya. Yang lain tersenyum.
“Kami maafkan Isya.”
“Isya?” pelik di pendengarannya
apabila dipanggil sebegitu rupa. Terasa janggal.
“Isya. Sejak lahir nama itulah yang
kami panggil.” Tan Sri Razif menyampuk. Keluarganya kini lengkap malah semakin
bertambah dengan kehadiran Encik zamani dan keluarga. Penantiannya tidak sia
sia. Alhamdulillah..
“Petang nanti kami mahu bertolak
pulang. Isya ikut kami balik ya?” soal Puan Sri Kamilia. Dannia tersentak. Dia
masih belum memikirkan hal itu. Masih belum bersedia untuk menjawab persoalan
itu. Matanya dihalakan pada wajah ibu dan abahnya yang masih menunggu jawapan
darinya. Dannia menjadi serba salah. Tersepit di tengah tengah.
“Nia belum fikirkan lagi. Beri Nia
masa ya mama, papa?” dia menagih simpati. Berharap agar Puan Sri Kamilia dan
Tan Sri Raziff faham akan kedudukannya.
“Kenapa bahasakan diri Nia? Tak suka
kami panggil Isya? Masih tak boleh terima kami?” sayu pandangan mamanya.
Bertalu talu petanyaannya, sedikit kecewa. Tan sri Raziff menggosok perlahan
tangan isterinya supaya tidak mengikut perasaan. Dia faham hati isterinya yang
mahukan penerimaan ikhlas dan inginkan kepulangan Dannia ke pangkuan
keluarganya.
“Maaf, bukan Nia tak boleh terima,
Nia terima dengan hati yang ikhlas bila jumpa keluarga kandung Nia dan bukan
juga kerana tidak sukakan panggilan nama Isya. Cuma Nia masih berasa kekok. Nia
akan biasakan. Mama jangan bimbang, Nia akan biasakan nanti. Tapi soal satu
lagi.. Nia tak fikirkan lagi. Mama bagilah masa untuk Nia fikirkan ya?”
pintanya lagi. Masih mengharapkan pengertian mama dan papanya.
“Baiklah kalau itu yang Isya pinta.
Kami hormatkan keputusan Isya. Tapi mama berharap Isya dapat pulang bersama
kami nanti.” Puan sri Kamilia masih tidak berputus asa.
“Insy’allah mama.” Dia menguntum
senyum buat kedua ibu bapa kandungnya.
“mama... Is..Isya nak minta
kebenaran dari mama dan papa...” teragak agak dia membahasakan dirinya dengan
panggilan manja. Masih terasa janggal sebenarnya. Mendengarkan ayat itu, Puan
Sri Kamilia menguntum senyuman.
“Apa dia sayang. Cakaplah..”
“Isya nak tinggal di sini dahulu
sehingga bulan ni boleh?” soalnya lagi. Lebih kepada meminta kebenaran.
“Kenapa tak mahu balik sekali?”
dengan rasa kecewa dia bertanya pada anak gadisnya. Sedikit terasa dengan
penolakan anak bongsunya.
Dannia serba salah melihat riak
keruh yang terpamer pada wajah Puan Sri kamilia.
“Bukan. Maksud Isya, kat sini Isya
masih bekerja. Tak boleh berhenti macam tu aja. Mama kenalah faham. Biar Isya
settle kan masalah kat sini dulu. Then barulah Isya balik sana. Boleh” duganya.
Puan Diana dan Encik Zamani
mengangguk bersetujun dengan cadangan Dannia. Bolehlah merka menghabiskan masa
bersama lebih sedikit sebelum anak gadisnya berpindah ke Kuala Lumpur. Puan Sri
kamilia mengeluh perlahan. Sedikit sebanyak terpujuk dengan alasan Dannia. Lupa
dengan pekerjaan anak bongsunya di sini.
“Baiklah papa setuju. Selesaikan
dulu masalah kat sini. Nanti bila dah settle, papa minta Zaf datang kemput kamu
kat sini ok?” Tan Sri Razif yang tadi diam bersuara memberi kata putus. Tidak
adil jika mahu mengongkong kehidupan anaknya terus. Itu sudah baik jika Dannia
mahu pulang ke pangkuan keluarganya.
“Terima kasih papa, mama.” Dannia
tersenyum gembira. Senang dengan keputusan yang telah dibuat oleh papanya.
Sedikit lega dengan keputusan yang tiada bantahan dari mamanya.
“Sepatutnya kami berterima kasih kerana
kesudian Isya pulang ke pangkuan keluarhga.”
“Jangan cakap macam tu. Isya yang
gembira, papa dan keluarga berusaha cari Isya. Kalau tidak sampai bila pun Isya
tak tahu bilakah akan jumpa keluarga kandung Isya.” Dannia memeluk erat Puan
Sri Kamilia. Ingin merasai hangatnya tubuh ibu kandungnya yang sebenar. Mahu
merasai betapa hangatnya kasih sayang yang menjadi miliknya. Dalam pelukan
Dannia tersedu sendiri.
‘Alhamdulilah Ya Allah. Aku
bersyukur padamu......’
No comments:
Post a Comment