Thursday, January 5, 2012

BAB 1 [KASIHKU YANG SATU]

Bab 1


                “Aku terima nikahnya Kaseh Nur Dannia Danisha binti Raziff dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai.” Terdengarkan lafaz nikah yang lahir dari mulut pemuda itu, serentak air mata menitis di pipi mulus miliknya. Bagi tetamu yang melihat dirinya pasti mengatakan air mata itu menandakan hari kegembiraan bagi si gadis yang bakal menapak ke alam baru. Namun baginya, ia merupakan kesedihan yang melanda buat dirinya. Siapa mahukan pernikahan yang di atur oleh pihak keluarga. Hancur semua angan angannya yang menginginkan pernikahan yang gilang gemilang bersama lelaki yang dicintainya. Semuanya kini tinggal harapan. Kini gelarannya bukan lagi bujang dan gadis sunti yang bebas ke mana mana, tetapi seorang isteri yang hanya mampu patuh pada perintah suami. Dirinya  terpaksa dan separuh rela memperhambakan diri buat seorang lelaki bergelar suami. Pemuda itu tidak pernah dikenali, entah dari mana ibu dan ayahnya mengenali pemuda itu. Sebelum ini, ibu dan ayah tidak pernah pula bercerita tentang latar belakang pemuda itu.
            “Nia, ibu gembira sangat hari ini. Terima kasih sayang. Terima kasih kerana memenuhi permintaan ibu. Ibu sayang Nia.” Sebuah kucupan dihadiahkan di pipi mulus milik Dannia. Puan Diana memeluk erat anak gadis tunggalnya. Dannia hanya tersenyum hambar sekadar membalas senyuman tawar dalam keterpaksaan. Hatinya merintih pilu tidak merelakan perkahwinan ini. Jika tidak mengenangkan kasih dan sayang kepada  ayah dan ibu, telah lama dia melarikan diri. Memikirkan maruah keluarganyalah, Dannia nekad dengan keputusan untuk mengahwini dengan lelaki yang tidak pernah dikenali asal usulnya itu. Kini hidupnya bergantung pada lelaki itu, diserahkan hidupnya pada lelaki itu. Abangnya yang tengah hanya mampu memandang sayu melihat pernikahan yang langsung tidak direstuinya tanpa rela.
Di sisinya, Hanna hanya mampu memandang, tidak pernah disangka sahabatnya ini sudah menjadi isteri orang. Tidak terduga olehnya sahabat yang paling disayangi berkahwin dalam usia yang begitu muda. Padahal dahulu bukan main lagi berikrar dan berjanji mahu berkahwin apabila masing masing sudah berjaya dalam pelajaran dan juga berkejaya dalam bidang yang diceburi. Nampaknya itu semua hanya janji yang terpaksa dimungkiri. Benarlah kita hanya mampu merancang dan DIA yang menentukan segalanya. Mereka akur dengan ketentuan Illahi.
“Senyumlah sikit Nia. Kau ni masam  mencuka aje muka tu. Tengok dah tak cantik.” Tegur Hanna yang bersebelahan dengannya. Dia berbisik setelah Puan Diana keluar dari bilik berhias indah itu dengan gabungan warna merah hati dan putih. Sengaja dia mengusik Dannia,  ingin menceriakan suasana apabila melihatkan muka sahabatnya yang tidak gembira dan keruh mengalahkan makan asam. Hilang serinya nanti. Hanna tahu hati Dannia sedih dan tidak tenang. Yalah siapa mahukan perkahwinan yang diatur oleh pihak keluarga. Begitu juga dengan dirinya. Mahu meraung sepuluh hari sepuluh malam jika itu yang terkena pada batang hidungnya. Nasib baiklah keluarganya jenis yang faham dan berfikiran terbuka.
“Macam mana aku nak senyum Hanna... Aku tak rela dengan semua ni. Aku tak bersedia langsung dengan semua ni.” Sebak hatinya dengan apa yang telah pun terjadi. Dia kini tidak mampu berpaling ke belakang lagi. Dirinya sudah terikat dengan ikatan perkahwinan. Setitis air mata menitik jua ke pipinya. Terlalu sedih dengan kehidupan yang bakal mendatang. Ingin sahaja dia meraung ketika ini, namun apa dayanya ingin membalas jasa Puan Diana dan Encik Zamani yang telah bersusah payah membesarkan dirinya. Dia terpaksa akur kerana mereka berdua dia kini mempunyai keluarga. Sepatutnya dia bersyukur kerana mempunyai sebuah keluarga yang begitu menyayanginya, tetapi kali ini dia benar-benar tidak bersetuju dengan keputusan Puan Diana dan Encik Zamani. Dia benar-benar merasakan keputusan untuknya mengahwini lelaki yang langsung tidak dikenali adalah satu tindakan yang kejam.
Teringatkan suami yang baru dinikahi, hatinya menjadi ragu ragu. Benarkah keputusannya ini? Masih terngiang-ngiang kemarahan lelaki itu padanya sebelum pertunangan rasmi mereka dan menjadi bakal tunangnya. Pergaduhan kecil yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja. Dia langsung tidak mengerti dengan aturan pernikahan mereka berdua. Dia dapat rasakan lelaki itu juga terpaksa dengan perkahwinan ini. Jelas di telinganya mendengar amarah lelaki yang dikenali sebagai Daniel Harith Dato’ Iskandar. Tidak pernah disangka dia bakal bergelar tunangan anak Dato’ itu dan  kini bergelar menantu anak orang berada. Gerun sungguh dengan gelaran itu.
Walaupun dia tidak yakin dengan aturan keluarganya yang menyuruh dia menerima lamaran dari keluarga Dato’ Iskandar, dia tidak mampu membantah apabila Puan Diana mahukan keluarga Dato’ Iskandar yang menjadi birasnya. Sehingga sanggup ibunya merayu. Apatah lagi apabila mendapat tahu isteri Dato’ Iskandar adalah rakan baik ibunya. Beria benar mereka berdua merancang tanpa merujuk pada empunya diri setelah dirinya berjaya dipujuk.
“Sabarlah Nia, mungkin dah jodoh kau dengan dia. Lagipun mak dan ayah kau nak terbaik untuk anaknya ni. Jangan sedih ya, aku selalu di sisi kau. Kau tahu kan, sesebuah perkahwinan akan lebih bahagia jika mendapat restu dari kedua belah pihak.” Hanna menasihati Dannia yang masih bersedih. Digosok belakang Dannia cuba meredakan kesedihan sahabat baiknya itu sebelum dia memeluk erat tubuh Dannia.
“Kau tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Aku dapat rasakan benda yang tak elok berlaku. Hati aku tak tenang dengan perkahwinan ni. Aku takut Hanna.” Ucapnya dengan nada penuh bimbang. Entah kenapa dia menjadi takut untuk menghadapi alam rumah tangga bersama lelaki itu. Mereka berdua tidak pernah kenal antara satu sama lain, apatah lagi mencintai satu sama lain. Sungguh dia tidak yakin dengan itu semua.
“Sabarlah Nia, aku yakin kau dapat tempuhinya. Kau mesti tabah untuk menghadapi semua ini. Jangan lupa aku sentiasa sokong. Dan aku harap jugak dia dapat membahagiakan kau. Aku akan selalu doakan kau bahagia dan yang terbaik.” Ujarnya lagi dengan senyuman yang dimaniskan. Dia tidak mahu memperlihatkan kesayuannya pada gadis ini. Di hari bahagia sahabatnya ini dia mahu turut sama meraikan penyatuan dua hati. Semoga dia bahagia Ya Allah.
 “Thanks Hanna. Aku tak tahu pada siapa lagi aku nak mengadu.” Air mata dipipi diseka perlahan. Dia sungguh bertuah sekurang kurangnya dia mempunyai seorang sahabat yang selalu menyokong dan tempat dia meluahkan perasaannya. Hanna selalu berada di sampingnya ketika susah dan senang bersama. Terima Kasih kerana menemukan aku dengan gadis ini Ya Allah. Dan aku sesungguhnya amat bertuah mempunyai sahabat seperti dia dan semoga aku tabah dengan alam yang baru ini. Bisik hati kecilnya.
“Syhh.. kau ni. Dah la tu menangis, kang tak pasal pasal aku pula yang meraung kat sini. Dah, cengeng la pengantin ni. Dah habis comot make up kat muka kau. Meh sini aku touch up kan sikit.” Ujar Hanna menceriakan suasana bilik yang semakin menghimpit perasaannya, lalu di ambil bedak di atas meja solek milik Dannia untuk disapukan ke muka sahabatnya dengan berhati hati, risau juga jika wajah cantik itu semakin comot dengan warna lain yang tercalit.
“Siapa yang cengeng. Kaulah...” sempat Dannia membalas sebelum dia menepuk kuat bahu Hanna. Mengaduh kawan baiknya apabila tangan kecil milik Dannia singgah di bahunya. Berkerut muka Hanna menahan pedih. Berbisa sungguh penangan Dannia.
”Adui, sakit lah. Ganas betul kau ni eh? Macam mana la agaknya laki kau nanti. Hari hari dia kena buli gamaknya. Malam nanti jangan ganas ganas tau..hehehe” Hanna berseloroh nakal, sengaja mahu kenakan Dannia. Bila lagi kan untuk mengusik...Jahat. selepas ini pasti rumah sewanya sunyi. Tiada lagi gelak ketawa Dannia memenuhi ruangan rumah teres itu.
Pap! Bantal diatas katil sempat dibaling pada Hanna dan tepat terkena pada muka dan rambutnya yang di dandan rapi. Tidak sempat mahu mengelak, langsung tidak menjangka tangan Dannia mampu menggapai bantal yang agak jauh dari gadis itu. Ingatkan lepaslah dia daripada menjadi mangsa bantal seperti selalu.
“Kau ni..habis dah rosak rambut aku. Dah tak cantik.” Hampir dia menjerit, apabila rambutnya terjuntai dan tidak sekemas tadi. Panjang muncungnya tanda protes sambil tangannya memperbetulkan rambutnya yang rosak. Disikat kembali rambutnya yang sedikit rosak dengan jemarinya. Wajah Hanna masam mencuka, kalau tahu Dannia akan membuat serangan pasti dia tidak akan bermulut celupar. Ish geram sungguh.
“Padan muka. Otak kuning!” Dannia tergelak lucu. Hanya untuk sementara Hanna mampu merajuk, dia kembali menguntum senyuman apabila mendengar gelak Dannia.
 Gelakan mereka berdua bergabung di di ruang bilik. Sedikit sebanyak menghilangkan rasa sedih yang bertamu dihati Dannia.
“Nia, dah sedia sayang? Pengantin lelaki dah nak masuk.” Puan Diana yang tiba-tiba muncul di ruangan itu bersuara. Serta merta wajah Dannia yang yang tadinya ceria bertukar pucat, tidak berdarah. Ada debar bertandang di hatinya. Dia kembali muram, takut akan penerimaan lelaki yang sudah bergelar suaminya.
Hanna tergelak kecil melihat muka Dannia yang sedikit pucat. Tahu pun takut... Hehehehe...beberapa ketika, bunyi derapan langkah seseorang yang memasuki bilik itu kedengaran semakin kuat. Dan semakin kuat pula debaran di dadanya. Pemuda tersebut menghampirinya membuatkan Dannia semakin menundukkan mukanya sehingga hampir mencecah dada. Sungguh dia tidak bersedia dengan ini semua.
Hanna di situ sudah melopong. Tidak menyangka suami Dannia begitu sempurna di matanya. Dia di situ sudah terpegun, apatah lagi jika gadis lain yang memandang. Pasti cair.. desis hatinya. Untuk pertama kali dia merasakan Dannia sungguh bertuah memiliki lelaki itu. Padan sungguh Dannia dengan lelaki berbaju melayu sedondon dengan sahabatnya itu. Sama cantik sama padan. Bagai pinang di belah dua. Laju tangannya mencapai kamera yang dibawa untuk mengambil gambar.
‘Wah hensemnya laki kau Dannia’...desis hatinya lagi apabila lelaki itu semakin menghampiri Dannia.
Terpegun diri Hanna dengan kekacakan suami Dannia. Macam model pun ada. Badan pula, boleh tahan hebatnya. Sesuai sungguh dengan berpangkat anak Dato’.
“Sasa..bertuahnya kau Dannia. Dapat lelaki hensem, anak orang kaya pulak tu. Pangkat Dato’ lagi”. Desisnya perlahan ke telinga Dannia. Gadis itu sempat menjeling geram pada Hanna. Pantang nampak lelaki handsome dan kacak mulalah berbakul bakul pujian yang diberikan. Entah apa apa sahabatnya yang seorang ini.
Dannia pantas menundukkan kepala kembali apabila melihat kelibat seorang lelaki kian menghampirinya sebelum berdiri berhadapan dengannya. Tak sempat mahu memandang wajah lelaki yang sudah sah menjadi suaminya. Lelaki itu melutut di hadapan Dannia yang duduk di birai katil.
Beberapa saat dia tidak berkutik di situ mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Sudahnya tangannya ditarik sedikit kasar, walaupun pada pandangan orang ramai tarikan itu hanya biasa sahaja tetapi dia rasakan seperti rentapan sebelum sempat Dannia  menghulurkan tangannya.
‘Wah main kasar nampak dia ni’...menguman kecil dihatinya. Sungguh dia tersentak hebat dengan perlakuan pemuda di hadapannya. Usikan saudara maranya langsung dibiarkan dek ditelan rasa yang amat takut dan gementar.
Sewaktu upacara pembatalan air sembahyang, pemuda tersebut langsung tidak memberikan senyuman sedikit pun pada Dannia. ‘gementar barangkali’ itulah yang cuba difikirkan, walaupun hatinya kuat menidakkan kenyataan itu. Wajahnya yang kelat menambahkan lagi rasa cuak di hati Dannia. Pemuda itu menghulurkan tangan dan pantas menarik tangannya kembali sebelum sempat Dannia mencium rapat tangan itu. Dannia mula berasa tidak enak. Terasa darah merah menyerbu ke muka. Malu dengan perlakuan pemuda yang telah menjadi suami bukan pilihan yang kurang sopan itu. Kemudian dahinya hanya dikucup secepat kilat.
Wajah lelaki itu usah dicakap masam mencuka. Langsung tidak menjaga maruahnya yang telah bergelar isteri. Kemudian lelaki itu pantas menapak keluar dari bilik meninggalkannya setelah cincin disarungkan ke jari manisnya. Dia ditinggalkan bersama dua tiga orang penghuni yang lain. Nasiblah tidak ramai yang menyaksikan pembatalan air sembahyang yang berlangsung di bilik kecil miliknya. Namun dia cukup malu dengan situasi itu. Bimbang apa pula kata ibu saudaranya nanti.
Kini tinggallah empat orang temasuk dirinya berada di situ. Ibunya juga telah keluar untuk menguruskan keadaan di luar dan meninggalkan dia bersama dua orang wajah yang baru pertama kali dia melihat dan juga Hanna. Dannia meneka sendiri dengan dua manusia dihadapannya. Adik ipar dan ibu mertuanya, itulah yang berada di fikirannya. Gadis di sebelah Hanna tersenyum gembira, girang hatinya melihat sang abang telah menjadi suami orang. Girang kerana mempunyai kakak yang akan berkongsi suka dan duka hidupnya dan akan berkongsi masalah serta tempat mengadu.
‘Wah gembira sakan budak ni, kalah pengantin’ desisnya dihati. Dannia hanya tersenyum ala kadar. Tetapi dia pasti senyumannya begitu tawar. Melihatkan senyuman manis yang terukir dibibir lelaki itu mengurangkan sedikit rasa bimbang dihatinya. Atau apa mungkin gadis ini hanya berlakon di hadapannya serta yang lain. Mungkin gadis ini turut sama tidak rela dirinya yang serba kekurangan menjadi ahli keluarganya.
“Akak, welcome to our family. Nice to meet you. I’m Iman. Adik abang Harith. Hari tu tak sempat jumpa kan?” Iman mengucup tangan dan kedua pipi Dannia. Gembira kerana mempunyai kakak ipar yang begitu cantik.
Dannia sedikit tersentak dengan perlakuan yang terlebih mesra yang ditunjukkan oleh gadis manis yang dikenali sebagai Iman a.k.a adik Harith. Dannia tersenyum membalas senyuman Iman. Yelah, orang berbudi kita berbahasa la kan?
You look so beutiful. Macam baby doll pun ada. Cantik.” Bisiknya perlahan namun masih di dengari oleh manusia yang berada di bilik itu.
“Bertuah sungguh abang dapat isteri yang cantik. Macam model kan ma?” tambahnya lagi. Pujian itu membuatkan dirinya terasa segan, apatah lagi di hadapan ibu mertuanya.
“Ha’ah, menantu mama memang cantik.” Sampuk Datin Rosmaria di sisi anak gadisnya. Kemudian wanita itu tersenyum mesra sambil memeluk erat tubuh Dannia yang kecil itu. Kemudian pipi Dannia menjadi mangsa kucupan Datin Rosmaria.
“Terima kasih kerana sudi menjadi menantu mama. Thanks sayang.” Datin Rosmaria sempat mengucup dahinya sebelum melangkah keluar meninggalkan Dannia dan Hanna. Suaminya awal awal lagi sudah keluar dari bilik itu. ‘Bagus juga dia keluar. Tak adalah segan sangat. Apabila dirinya dipuji sedemikian rupa. Cantik ke?
“Wah kau Nia, seronoklah ye. Dapat laki hensem nak mampus. Ala ala model gitu. Mak mertua and adik ipar kau pun baik je. Sayang benar kat kau ni. Bertuahlah badan.” Hanna menggiat sakan Dannia. Sedikit sebanyak dia berasa senang hati melihat emak mertua Dannia yang tidak sombong, malah melayan Dannia mesra walaupun kedudukan wanita separuh abad itu mempunyai pangkat yang lebih tinggi daripada mereka sekeluarga.
            Dannia tidak ambil pusing dengan pujian Hanna, sebaliknya dia hanya mengeluh perlahan. Namun wajahnya yang suram tidak langsung mencacatkan wajahnya yang ayu. Mukanya yang cantik dan anggun dikenakan solekan nipis itu bertambah menawan. Badannya yang ramping dan sedikit tinggi walaupun hanya separas bahu dengan Harith disaluti kebaya moden putih satin yang bermanik, menyerlahkan lagi kecantikan ciptaan Allah. Namun kecantikan itu tidak langsung dipandang oleh suaminya. Bagi lelaki itu, dirinya tidak mungkin dan tidak setanding dengan lelaki berpangkat dan berharta itu. Lihat sahaja sebentar tadi ketika upacara pembatalan air sembahyang dan acara menyarung cincin, lelaki itu seperti endah tak endah sahaja.



Dannia melepaskan penatnya sebentar di bawah kanopi yang didirikan berhampiran rumahnya, melepaskan penat lelahnya bergelar raja sehari. Harith...dia tidak tahu ke mana menghilang. Sejak tadi mereka langsung tidak berdiri dekat antara satu sama lain. Lelaki itu mengelak dari berada dekat dengannya. Macamlah dia ni kotor sangat. Tengok sahaja waktu upacara persandingan yang diadakan tadi, lelaki itu sedaya upaya mengelak daripada berada rapat dengan Dannia. ‘Ah, aku pun tak heran la nak rapat dengan dia’ hanya itu yang mampu diluahkan. Itupun sekadar berkata di dalam hati. Walaupun perkahwinan mereka yang sederhana, kemeriahan tetap terserlah dengan kehadiran para tetamu.
            Pada awalnya, Datin Rosmaria ingin menempah katering, namun ibunya menolak baik kerana menginginkan suasana yang lebih meriah dengan kehadiran jiran tetangga yang datang mahu menolong mereka memasak. Malah sudah lama mereka tidak bergotong royong begini, barulah dapat mengeratkan tali persaudaraan. Bila lagi mereka sekeluarga mahu merasai suasana bergotong royong begini memandangkan anak gadis tunggal di dalam keluarga ini sudah melangsungkan perkahwinan, selain Dannia dia tidak mempunyai anak perempaun yang lain.
            Di suatu sudut, bawah pohon yang rendang terdapat beberapa orang lelaki yang sedang rancak berbual dengan Harith. Agaknya kawan kawan Harith, lelaki itu langsung tidak menghiraukannya dan jauh sekali untuk diperkenalkan kepada rakan rakan lelakinya yang hadir. Nampak sangat lelaki itu langsung tidak suka akan perkahwinan mereka ini. Cukup hanya dengan melihat riak wajah yang terpamer. Wajahnya yang masam mencuka sudah cukup mengambarkan lelaki itu tidak rela.
Dannia mengeluh lagi, lelaki itu langsung tiada adab sopan, sepatutnya kenalah melayan tetamu yang hadir. Dia dibiarkan sendirian untuk melayan tetamu, jika ada tetamu yang bertanyakan tentang suaminya, terpaksalah dia berbohong mengatakan suaminya sibuk melayan tetamu lain. Entah berapa banyak dosa yang telah dilakukan hari ini. Lelaki itu seperti sengaja mahu mengenakannya. Dannia hanya mampu bersabar dengan kerenah Harith.
            “Rith, mana bini kau?” Izzat tersenyum nakal melihat wajah tegang Harith. Bukannya dia tidak tahu rakan baiknya dipaksa kahwin demi kedudukan pangkat dan harta. Buktinya lelaki itu langsung tidak menjemput rakan-rakannya yang lain, malah staffnya sendiri tidak langsung dijemput. Apatah lagi mahu mengadakan resepsi persandingan di Penang, itu sebagai syarat yang dikenakan oleh Harith kepada Dato’ Iskandar. Kesian gadis-gadis di syarikat Harith, disangka bujang rupanya sudah beristeri. Pasti semuanya akan menggigit jari apabila mengetahui lelaki yang dipuja rupanya sudah berpunya.
Dia sendiri terperanjat dengan berita perkahwinan itu, angin tak ada ribut tak ada, Harith menelefonnya untuk menjemputnya menghadiri majlis perkahwinan, disangka Harith sekadar bergurau, tetapi sangkaannya meleset sama sekali apabila dihulurkan kad yang cantik bersampul barulah dia percaya. Tidak menyangka zaman moden ini masih ada lagi perkahwinan yang di atur pihak keluarga. Simpang malaikat empat puluh empat minta dijauhkan semua ini dengannya.
            “Entah mana aku tahu. Malas aku nak ambil tahu pasal perempuan kampung tu.” Harith merengus geram, semua kawan kawannya yang datang mahu melihat gadis yang telah menjadi pengantinnya. Entah apa yang ada dan istimewa dengan perempuan kampung itu.
            “Ala kau ni, bila dah kahwin kenalah sepakat, jangan seorang ke hulu, seorang ke hilir.” Izzaat hanya menggelengkan kepala. Entah perempuan macam mana yang mampu menundukkan sikap liar Harith. Jika mahu dilihat pada gadis yang telah terikat dengan lelaki itu tidak kurang hebatnya. Berpelajaran, cantik, menawan, ayu dan semua memenuhi citarasa untuk dibuat isteri yang kurang cumalah harta dan pangkat sahaja yang tidak setaraf. Baginya gadis yang bernama Dannia cukup cantik. Dirinya juga tergugat dan terpesona dengan kecantikan yang dimiliki oleh gadis itu.
            “Itu memang niat aku, tak payah nak sepakat, kalau nak sepakat pun tunggu depan family kitorang jer. Perempuan tak sedar diri tu patut tahu kedudukan dia. Tak layak langsung dengan aku. Entah macam mana papa aku tu jumpa and kutip betina tu.” Suaranya kedengaran sedikit bergetar menahan marah. Sungguh tertekan dengan keputusan papa dan mamanya.
Harith geram mengingatkan itu semua. Bukannya dia mahu sangat menikahi Dannia. Demi harta dia sanggup bergadai apa sahaja. Tidak sanggup dirinya merempat dan bersusah payah. Selama ini dirinya dilimpahi kemewahan wang ringgit dan harta. Tidak mungkin dia akan melepaskan itu semua. Dengan hanya mengahwini gadis itu, dia dapat mengukuhkan kedudukannya sekarang, janji papanya juga akan mewariskan syarikat itu kepadanya kelak. Apa yang penting sekarang ini untuk mendapatkan harta yang bakal jatuh ke tangannya, soal perempuan itu kemudian sahaja akan diuruskan. Dalam kepalanya sudah pelbagai rancangan untuk mengenakan gadis itu. Tengok sahaja, akan dikenakan perempuan itu secukupnya.
            “Relaks la Rith, dengar kat budak tu nanti. Kecil hati pulak.” Izzat yang mendengar cuma tersenyum. Menggeleng lagi, Harith seperti kanak-kanak sahaja perangainya. Langsung tidak bersyukur dengan apa yang dianugerahkan kepadanya.
            “Memang aku nak bagi dia dengar pun, baru puas hati aku. Baru la sedar diri sikit. Ada hati nak berdampingan dengan aku.” Harith mengguman dengan penuh perasaan. Sakit hatinya tak tertanggung.
Perempuan tu kalau nak dibandingkan dengan Suzanne bagai langit dengan bumi. Suzanne cantik, bergaya, seksi, bergaya up-to-date dan pandai bersosial. Amat sesuai dirinya yang kaki sosial, bukan macam Dannia. Huh. Sakit matanya melihat perwatakan Dannia yang sederhana dan out of date. Dasar perempuan kampung..kutuknya lagi. Terkejut sungguh apabila pertama kali dia melihat Dannia yang hanya berbaju kurung lusuh, itu pun melalui gambar. Sungguh kekampungan.
            “Kau ni, dah la tu, aku tengok dia tu ok jer walaupun kekampungan sikit. Aku dah nak chow dulu, nanti lewat pulak sampai KL. Anyway tahniah dari aku. Tak sangka kau dah kahwin. Lagi satu aku tengok la kan, bini kau tu boleh tahan cantik. Tergoda aku. Bukan kau tak perasan ramai betul jejaka pandang dia tak berkelip. Tak tergugat ker? Jangan benci sangat Rith, kang jatuh tergolek susah pulak. Tak pasal pasal jilat ludah sendiri..” Izzat menggiat lagi sambil ketawa dan juga lebih kepada menyindir sebenarnya. Cuma mahu menyedarkan lelaki seego Harith. Lupakah dia, perempaun mampu menundukkan lelaki hanya dengan beberapa minit bersamanya?
            “Tak ingin aku perempuan macam tu. Kalau kau nak, aku bagi free jer nanti.” Harith berkata dengan penuh riak, kata kata Izzat langsung tidak dihiraukan, malah mencebik tanda meluat. Takkanlah dia akan jatuh hati dengan gadis itu. Memang tak lah!
            “Huish kau ni tak sayang bini la. Jangan nanti kau yang jatuh tergolek sudah. Perempuan ni lain tau, sekejap jer nak buat lelaki jatuh hati.” Dia memberi nasihat, Izzat menggelengkan kepala beberapa kali. Ini sudah kali ke berapa dia menggelengkan kepala, mahu tertelengnya nanti. Lancang betul mulut rakannya. Tahulah kena kahwin paksa, tak payah la nak tunjukkan sangat. Depan orang ramai pula tu. Harith...Harith..
Setelah meminta diri, Izzat melambaikan tangannya sebelum meninggalkan majlis Harith dan Dannia. Hatinya berharap agar Harith akan bukakan hatinya untuk Dannia. Dirinya bukanlah sekejam mana seperti Harith. Harith di lihatnya langsung tidak menghormati orang lain, dan secara terang terangan ditunjukkan sikapnya. Sikap panas baran dan playboy kawannya seakan sudah sebati dengan jiwanya.  Dulu dilihat Harith tidaklah seburuk itu, perangainya serubah 360 sebaik sahaja dihantar belajar di luar negara. Dia sendiri terkejut dengan perubahan sikap Harith. Seboleh bolehnya sebagai seorang rakan, dia mahu yang terbaik buat Harith. Dia yakin suatu hari nanti Harith akan berubah andai kata Harith berjumpa dengan seseorang yang benar dicintainya. Dan dia juga berharap biarlah Dannia orangnya. Gadis itu tiada cacat celanya. Malah begitu serasi apabila dilihat dari jauh.
            Melihatkan kereta Izzat yang telah jauh dari perkarangan rumah mentuanya. Harith melangkah laju meninggalkan halaman rumah menuju ke bilik yang baru dihuninya. Panas punggung mahu berlama di situ, kelibat ibu bapanya langsung tidak kelihatan. Sudah pulang agaknya, orang ramai yang menghadiri majlis itu pula  perlahan-lahan menyusul pulang.
Dari jauh Harith dapat melihat abang iparnya sedang menyental barang yang digunakan, langsung tidak ditolong abang abangnya menyimpan dan mengemaskan barang barang yang digunakan di majlis itu. Dannia hanya melihat dari jauh gelagat Harith.
‘Tak bersopan’. Sedikit sebanyak hatinya terguris apabila terdengar secara tak sengaja  perbualan Harith dan rakannya. Pilu hati apabila suami mencela dirinya dihadapan orang lain tanpa perasaan bersalah. Wajahnya bertukar mendung dan muram, tanpa disedari dua pasang mata yang turut melihat dan mendengar perbualan itu.



            “Adik, Harith mana?” pertanyaan abangnya yang sulung hanya mampu dijawab sekadar gelengan. Syahmin yang perasan akan kehadiran Dannia segera bertanya akan perihal adik iparnya yang tunggal.
“Aik, suami sendiri tak tahu berada di mana?” Syahmin tersenyum dan membuat muka pelik. Sedikit sebanyak, hatinya sedikit terusik dengan layanan Harith. Langsung tidak mesra. Lelaki itu terlalu sombong, langsung tiada senyuman yang terukir jika mereka terpandang secara tidak sengaja. Di majlis tadi, Harith langsung tidak beramah mesra dengan orang kampung. Sengaja lelaki itu menyelit di celahan ibu bapa dan sahabat handainya yang hadir.
            “Ada kat dalam bilik berehat agaknya along. Kenapa?” Soalnya ingin tahu apabila perihal Harith diutarakan.
            “Tak adalah, baru nak buli sikit pengantin... dah hilang pulak.” Usik Syahmin dengan senyuman nakal.
            “Letih agaknya, seharian layan tetamu.” Dannia mengambil pinggan yang telah bersih di cuci untuk di lap. Barang barang yang dipinjam seharusnya disimpan elok supaya dapat dikembalikan dengan keadaan baik seperti waktu yang dipinjam.
            “Ye ke letih? Tak nampak layan tetamu pun tadi. Duk bersembang adalah.” Syahmir yang entah dari mana datangnya membalas sinis. Tahu sangat dengan perangai angahnya yang satu.  Syahmir anti betul dengan Harith, sejak tahu berita pertunangannya dengan pemuda itu, sekeras kerasnya dibangkang. Sanggup mogok kerananya. Dannia tahu Syahmir amat menyayangi dirinya. Malah Dannia amat rapat dengan Shahmir berbanding alongnya, Syahmin. Perbezaan yang hanya dua tahun membuatkan mereka serasi berkongsi cerita. Semua tentang kehidupan Dannia diceritakan kepada Syahmir. Bagi Dannia, Syahmir amat memahami dirinya selain Hanna.
            “Angah, behave yourself” Syahmin memberi jelingan tajam. Kurang senang dengan kata kata yang terbit dari mulut pedas itu. Bimbang jika didengari oleh ibu dan abah. Nanti tak pasal pasal kena sembur free.
            “Betullah apa yang aku cakap along. Mana ada dia layan tetamu. Duk sembang dari petang tadi sampai member dia balik. Entah apa yang disembang. Macam tak jumpa setahun.” Panjang lebar angah membela dirinya. Ingin sahaja dia memaki hamun lelaki yang menjadi adik iparnya itu. Sombong nak mampus.
            Dannia segera menggamit angahnya yang berada tak jauh dari Syahmin. Melihatkan lambaian Dannia, Syahmir segera menuju ke arah adiknya. Dibiarkan alongnya sendirian membasuh periuk besar.
“Kenapa angah cakap macam tu?” Dannia memandang tepat wajah angahnya. Dia kurang mengerti apa yang bermain di minda Syahmir.
            “Jangan ingat angah tak tahu apa yang dibualkan si Harith tu.” Mendengarkan ayat angah, Dannia kaget. Angah dengarkah cacian dari mulut Harith ‘khas’ buat dirinya? Dia terdiam sebelum tersenyum kelat.
            “Siapa lagi yang dengar?” Dannia memperlahankan suara. Takut didengari oleh Syahmin.
            “Angah je kot atau mungkin jugak along. Geram betul dengan si Harith. Kurang ajar. Mulut longkang” Dannia tergelak kecil mendengar cemuhan Syahmir. Macam kelakar pun ada apabila Syahmir mengatakan Harith mulut longkang, Syahmir pun apa kurangnya.
“Tak baik kata macam tu kat dia” gelaknya kedengaran lagi.
            “Angah cuma cakap apa yang angah nampak. Angah tak nak adik merana. Walaupun angah tak kenal sangat dengan Harith, tapi angah dapat rasa dia tu bukannya orang yang baik.” Entah kenapa dari awal, di rasakan lelaki itu memang tidak sesuai berdampingan dengan Dannia. Terlalu kasar dan dingin percakapannya. Sombong dan angkuh semestinya.
            “Nak buat macam mana, dia dah pun jadi suami adik. Baik buruk dia terpaksa adik terima. Harapnya selepas ni dapatlah dia berubah dan terima semua ni.” Dannia menahan sebak. Melihatkan muka Dannia yang keruh, dia hanya mampu mengusap kepala Dannia dengan penuh kasih. Menghilangkan rasa hati yang terbuku. Sayangnya pada Dannia terlalu menggunung. Dia terlalu mengasihi adiknya yang satu. Rela berkorban apa sahaja untuk insan yang dikasihi. Kerana Dannia lah satu satunya adik perempuan yang dia miliki.
            “Dik bersabarlah, cuba kenali hati budi dia dulu” Syahmin bersuara tiba tiba. Suara itu membuatkan Dannia dan Syamir berpaling serentak. Along dengarkah apa yang dibualkan bersama Dannia? Itulah bercakap tidak pandang kiri dan kanan.
            “Adik akan cuba along.” Dannia tersenyum tawar sebelum menundukkan wajahnya dan kembali mengelap pinggan. Cuba membuang rasa hatinya dan juga rasa terharu apabila diberi perhatian dari kedua abangnya.
            “Kau tahu?” suara Syahmir sedikit terkejut, kedatangan Syahmir langsung tidak disedarinya.
            “Kenapa? Korang ingat along tak tahu ke? Aku nak tengok dulu macam mana Harith tu layan adik. Tahu lah nanti macam mana along nak handle benda ni.” Tegas Syahmin bersuara. Perasaan marah cuba dikawal, seboleh bolehnya dia tidak mahu bertindak melulu. Mungkin Harith tidak sedar perbualannya yang sedikit lantang itu didengarinya. Waktu itu, dia berada di belakang Harith yang hanya dilindungi oleh dua jirannya. Mungkin tidak perasan akan kehadirannya di situ.
            “Lepas ni angah nak adik selalu inform kat angah. Kalau si Harith tu buat apa apa yang tak elok bagitahu angah, tahulah angah macam mana nak ajar budak tu.” Sampuk Syahmir pula berpesan.
            ‘Ah untungnya gadis yang menjadi suri di hati Syahmin dan Syahmir, pasti mereka dilindungi seperti dirinya ini.’ Fikirnya bersama senyuman. Timbul pula rasa ingin mengusik kedua abangnya itu.
            “Angah dan along ni protective betulla. Bertuahnya adik dapat abang yang baik, handsome, memahami dan penyayang ni” Dannia cuba menceriakan suasana dan juga hatinya. Ingin keluar dari situasi dan isu tentang suaminya.
            “Lagi? Pujilah banyak sikit, sejemputnya pujian” Juih mulut mereka berdua sedikit memuncung. Melayan usikan Dannia, lupa terus soal Harith tadi.
            “Cheh, bagi betis nak peha pulak... apa lagi ye. Hah, ni yang paling umph!” senyuman nakal terbit di bibirnya. Besedia untuk melarikan diri.
            “Suka jaga tepi kain orang kalah Mak Joyah kat hujung kampung tu” pantas Dannia melemparkan kain buruk yang berada di tangannya ke muka Syahmir dan Syahmin serentak. Bersinar sinar mata keduanya mahu mendengar pujian daripada mulut Dannia. Dan sepantas itu juga Dannia bangun dan melarikan diri.
            “Apa?” Bulat mata mereka berdua. Disamakan kitorang dengan mulut Mak Joyah tu. Budak ni memanglah..Mulut Mak Joyah yang jual kain jugak difikirkannya. Hish..
Syahmir mengejar Dannia yang telah berada jauh dari mereka berdua. Apa lagi mencicit adiknya berlari menyelamatkan diri. Mereka berdua berkejaran mengelilingi meja sebelum pinggang adiknya diraih dan tangannya pula pantas memaut tangan Dannia dan mengheret Dannia menuju ke arah tempat yang diduduki Syahmin.
Manakala Syahmin pula sudah bersedia dengan paip di tangan menunggu kedatangan Dannia dan Syahmir di sana. Apabila semakin dekat, pantas dia menghalakan batang paip itu ke arah Dannia. Di sembur air paip yang laju mengalir persis menyiram bunga yang ditanam oleh Puan Diana di halaman rumah mereka.
Apalagi basah kuyup baju Dannia. Gadis itu menjerit geram sambil tangannya menekup muka apabila disimbah pula dengan air sabun. Menambahkan lagi perisa di badannya.
Riuh  suasana petang itu dengan jeritan dan gelak ketawa mereka bertiga. Jiran jiran mereka hanya ketawa dan menggelengkan kepala melihat telatah adik beradik yang akrab itu. Hilang rasa marah terhadap Harith..

Sepanjang petang, mereka bertiga bergelak ketawa dengan telatah dan gurau senda masing-masing. Langsung terlupa dengan kewujudan orang baru dalam keluarganya. Yang mereka tahu, hanya mahu meluangkan masa bersama. Mungkin selepas ini agak susah untuk mereka kembali berkumpul. Masing masing sibuk dengan urusan sendiri..



No comments:

Post a Comment