Bab 30
Kereta
Dannia meluncur laju di atas jalan raya. Dia mengerling ke arah jam di
dashboard, baru pukul 3.50 petang. Patutla jalan tak sesak, awal lagi rupanya.
Dannia berkira kira untuk menuju ke arah tasik, iaitu satu satunya tempat yang
selalu dikunjungi pada waktu lapang ataupun ketika dilanda masalah. Hatinya
perlu ditenangkan sebelum kembali ke rumah. Dia tidak mahu Hanna mengetahui
keadaannya. Hanna tidak perlu tahu tentang ini. Biarlah Hanna tidak mengetahui
tentang keberadaan Harith di Kuala Lumpur.
Hatinya merintih, mengapa perlu
berjumpa lagi dengan Harith. Tidak cukup lagikah lelaki itu ingin menyeksa
hidupnya? Harith telah banyak melukakan hatinya semenjak bergelar isteri kepada
lelaki itu. Harith tidak segan silu menghina dirinya yang kekampungan. Mulut
lelaki itu lancang mengatakan dirinya jijik dan tidak setaraf dengan dirinya
yang kaya. Malah dirinya dibandingan dengan koleksi teman wanita Harith yang up to date. Dirinya di cemuh sepanjang
hari dan setiap masa. Tak cukup dengan itu, Harith tidak langsung menghormati
dirinya sebagai isteri apabila membawa balik teman wanita ke rumah. Dirinya
dijadikan sebagai orang gaji, setiap kesalahan yang dilakukan pasti akan
mendapat cacian.
Masih tersemat kukuh di ingatannya,
pernah sekali di rumah mereka diadakan parti untuk menyambut ulang tahun
kelahiran Harith. Harith menjemput ramai kawan kawannya datang. Kawan kawan
perempuan dan teman wanita Harith yang menghadiri pula berpakaian yang menjolok
mata, tanpa segan silu berpeluk dan bercumbu antara satu sama lain. Hati Dannia
benar benar hancur melihat sendiri suaminya berpelukan dengan wanita lain. Erat
tangan tersebut melingkari pinggang tanpa melepaskannya. Teman wanita Harith
yang menghadiri majlis tersebut memandang sinis ke arah Dannia. Malam itu dia
hampir hampir menjadi mangsa usikan nakal rakan rakannya. Harith hanya
memandang sekilas ke arahnya tanpa menolong. Harith hanyut dengan dunianya
tanpa meghiraukannya. Di mana tanggung jawab Harith ketika itu. Apakah layak
dia memberi kemaafan buat lelaki yang hampir meragut kesuciannya?
Tidak
cukup dengan itu, pada pagi keesokkan harinya, Dannia turun dengan niat untuk
mengemaskan rumah. Setibanya di tangga, terbeliak matanya memandang suaminya
yang tidur di atas sofa di ruang tamu memeluk teman wanitanya. Mengucap panjang
hatinya. Segera Dannia mengejutkan mereka yang enak dibuai mimpi, tanpa sengaja
kakinya tersepak barang lalu tangannya tertepis air yang berada di atas meja
tersebut. Apa lagi, teman wanitanya menjerit nyaring segera bangun dan menampar
pipinya. Tak cukup dengan itu, difitnah olehnya mengatakan Dannia sengaja
menjirus air ke arahnya. Harith pantas berdiri menghadiahi, tegang mukanya lalu
sebiji penampar di hadiahkan padanya tanpa mendengar penjelasan dari Dannia.
Perit pipinya menahan sakit. Terasa darah pekat mengalir di celah celah
bibirnya. Terasa bengkak dan sengal seluruh wajah. Apakah layak lelaki itu
masih mahu berdiri di tepinya di saat dia bulat bulat tidak pernah percaya
dengan apa yang mahu dibicarakan? Pada waktu dia memerlukan seseorang di
sisinya?
Penangan yang diterima daripada
Harith menyebabkan dirinya demam tiga hari. Sepanjang dia sakit tidak pernah
sekali pun Harith menunjukkan dirinya. Makan minumnya ditanggung sendiri. Sejak
hari itu, dia jarang bertembung dengan Harith. Manakan hendak berjumpa jika
Harith keluar disaat Dannia pergi ke kuliah, malamnya pula pulang ketika dia
sedang nyenyak dibuai mimpi. Begitulah kehidupan hariannya sepanjang menjadi
isteri kepada lelaki itu. Harith langsung ciri ciri lelaki bertanggungjawab.
Malah dirinya dibiarkan keseorangan ketika di dalam kesusahan.. Tidak! Dia
tidak boleh menerima lelaki yang seenaknya mencampakkan dirinya sesuka hati
tanpa belas kasihan.
Harith tidak pernah peduli tentang
dirinya. Harith mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Tidak pernah
memberinya nafkah zahir. Sikap Harith yang panas baran selalu menjadikannya
mangsa untuk melempiaskan amarahnya. Dirinya dimarahi sesuka hati walaupun
jelas jelas bukan salahnya. Walaupun berkali kali dia menyatakan redha dengan itu
semua. Tetapi hatinya tidaklah seikhlas itu. Dia masih punyai hati dan perasaan
sebagai manusia yang khilaf dengan rentetan hidupnya.
Hanya
satu yang masih tidak di abaikan, tanggungjawabnya sebagai isteri tidak pernah
di abaikan. Di jaga makan minum Harith. Baju Harith sentiasa digosok setiap
kali lelaki itu ke pejabat. Rumah yang didiami bersama Harith dijaga sebaik
mungkin. Namun semua itu dibutakan oleh pandangan Harith.
Harith bijak memainkan peranannya,
apabila ibu bapa ataupun adiknya datang melawat Harith melayannya dengan baik.
Dirinya pernah diugut supaya bekerjasama untuk berlakon di hadapan keluarganya.
Kadang kadang dia terfikir perangai Harith yang agak berbeza dengan sikap kedua
mentua dan adik iparnya. Mereka melayaninya dengan baik dan menatang Dannia
bagai minyak yang penuh. Adik iparnya pula terlalu manja dengannya, malah
dijadikan tempat mengadu jika merajuk dengan ibu bapanya. Dannia terlalu
menyayangi keluarga mentuanya. Kerana itulah dia tidak sanggup melukakan hati
mereka. Mereka terlalu baik untuk disakiti. Biarlah dia yang menabggung beban
itu seorang diri.
Genap 6 bulan perkahwinannya,
dirinya digantung tak bertali. Bukan salahnya, adik iparnya Iman Adira yang
kebetulan datang kerumah tanpa diundang amat memeranjatkan Harith dan Dannia.
Waktu itu, suara Harith yang nyaring memarahinya dihadapan teman wanita. Mereka
bertekak hebat, seolah olah berdebat untuk mencari pemenangnya. Teman wanita
Harith hanya tersenyum sinis melihat dirinya dimarahi. Iman pada ketika itu
sempat menyaksikan penampar sulung Suzanne yang hinggap pada pipinya, Iman
Adira pantas menuju ke arah Suzanne dan menolak keras tubuh itu sehingga
terjelepuk jatuh. Mengamuk sakan adik iparnya dan nyaring suara Iman Adira
memarahi Harith serentak itu menarik tangan Suzanne dan menampar pula pipi
gadis itu. Tamparan Harith yang mengenai pipi adiknya membuatkan Dannia
terpana. Segera Nia menarik tangan Iman Adira menjauhi Harith. Mengalir air
mata dipipi mulus Iman Adira, tidak disangka disebalik sifat abangnya yang
penyayang itu terselit satu sifat yang keji. Tergamak membiarkan kakak ipar
kesayangannya dihina dan hampir ditampar oleh Suzanne. Kemarahan Harith yang
meluap luap menyebabkan mereka dihalau. Kepada Dannia Harith mengatakan dirinya
akan digantung tak bertali, Harith menghilangkan diri di dalam rumah sebelum
muncul dengan sebuah beg besar milik Dannia. Dititipkan kata buat Nia yang
mengharamkan kakinya untuk kembali ke rumah itu lagi. Dicampak beg itu sehingga
berteraburan isi didalamnya sebelum pintu besar rumah dihempas kasar. Pilu
hatinya seakan mahu pecah. Hatinya hancur bagai dihiris lumat. Dirinya dihalau
bagaikan pengemis tanpa sebarang kasihan.
Iman Adira menangis teresak esak
disampingnya meminta maaf, disebabkan dirinya Dannia dihalau dan dan digantung tak bertali.
Iman Adira mengajak kakak iparnya untuk pulang ke banglo mertuanya tapi ditolak
mentah. Takut akan kesihatan ibu mertuanya yang menghidap sakit jantung, dia
melarang keras Iman supaya merahsiakan daripada papa dan mamanya.
Petang
itu juga Dannia membawa diri pulang ke kampung halaman. Membawa hati yang lara.
Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, air matanya tidak berhenti mengalir,
penumpang disebelah gelisah memandang dirinya. Setibanya di kampung,
keluarganya memandang dengan riak terkejut kerana membawa pulang beg besar di
tangannya. Ibunya menyuruh dia berehat dahulu dan membersihkan diri. Resah hati
melihatkan anak perempuan tunggal kesayangannya yang sembab dengan air mata.
Malam itu, abangnya yang sulung datang menagih jawapan. Mungkin ibunya yang
menelefon abang Long. Angah dan abahnya pula berada di samping abang Longnya
hanya mendiamkan diri menunggu bicara yang keluar dari mulutnya. Setelah di
desak beberapa kali, akhirnya Dannia menceritakan dari awal sehingga akhirnya.
Malam itu, suasana rumahnya tegang sekali. Jelas kelihatan muka abang Long dan
angahnya merah menahan marah. Sakit hati pada Harith kerana melakukan perbuatan
itu pada adik kesayangannya. Uminya pula tidak habis habis mengalirkan air
mata, tidak disangka keputusan untuk berbesankan keluarga kawan baiknya Rosma yang
ingin memperisterikan Dannia untuk anaknya membawa musibah. Hatinya turut
menyesal dengan itu semua.
Mereka sekeluarga berpakat pergi ke
Penang untuk menyelesaikan masalah pengolakan rumahtangga Dannia, tetapi ditentang
cadangan itu. Merayu dan melutut supaya masalah ini tidak boleh diketahui oleh
keluarga mentuanya. Bimbang akan kesihatan ibu mertuanya yang kian merosot
tambahan pula masalah jantung ibu mertuanya. Mendengarkan alasan itu, abah dan
serta dua abangnya bersetuju untuk bersua muka dengan Harith sahaja.
Keesokan harinya, setelah
bersarapan, abah dan dua abangnya bertolak ke Penang. Kedatangan mereka yang
tidak diundang disambut oleh seorang wanita yang agak seksi yang hanya memakai
singlet putih bertali halus dan berseluar ketat separas peha. Disangka salah
alamat, kemudian terjengul wajah Harith disamping wanita itu sambil memeluk
pinggang ternyata mengejutkan mereka sekali lagi. Terpandangkan wajah wajah
yang berada di pintu pagar rumahnya hanya dihadiahi senyuman sinis. Tanpa
mempelawa mereka masuk, Harith sekadar bertanya tujuan datang.
Kedatangan abah dan abangnya dihina.
Hampir bertumbuk angah dan Harith. Sakit hati pada Harith yang tidak
menghormati abah dan abangnya semakin meluap luap. Lelaki itu dirasakan terlalu
biadap dan kurang ajar. Malah Harith tidak segan silu untuk menelefon polis
supaya mereka pergi dari situ. Kepulangan abah dan abang abangnya mengkhabarkan
berita yang hampa dan melukakan. Dannia hanya mampu menangis. Tiada sekumitkah
perasaan hormat pada ibu bapa dan ahli keluarganya di mata Harith? Sampai hati
Harith sanggup menghina dan mencaci keluarganya. Mentang mentanglah keluarganya
kaya raya dan ramai pengaruh. Sanggup dia menggunakan kesempatan ini untuk menghina
dan mengugut keluarganya. Dannia hanya mampu pasrah pada takdir.
Setelah sebulan peristiwa itu,
keluarganya nekad untuk berpindah dari kampung itu. Keluarganya tidak tahan
melihat dirinya difitnah yang mengatakan perkara buruk buruk tentangnya. Entah
dari mana fitnah itu datang dan tersebar, dalam tempoh itu, dia membuat surat
pertukaran universitinya dan ditukarkan ke Universiti Skudai, Johor.
Keluarganya termasuk abangnya yang sulung yang sudah berkeluarga itu juga turut
berpindah. Mereka semua membawa diri ke Johor, tempat kelahiran abahnya. Mereka
sekeluarga berpindah ke Johor untuk memulakan hidup baru.
Nekadnya dalam hati agar melupakan
sebaris nama dan seraut wajah yang satu itu.
Laungan azan menyentakkannya.
Beristighfar panjang dirinya. Lama betul termenung mengingati peristiwa
hidupnya yang menjadi sejarah. Lantas diseka air mata yang hampir kering di
wajah. Laungan azan maghrib membuatkan dia kembali ke alam nyata. Segera bangun
dari kerusi panjang yang didudukinya tadi. Langkahnya diatur menuju kearah
kereta miliknya. Suntuk maghrib barulah Dannia tiba di rumah teres miliknya.
“Kau ke mana petang tadi? Mira call
aku tanyakan kau. Bimbang betul minah tu bila kau berlari keluar. Kau ada something yang nak share dengan aku?” soal Hanna dengan mata yang masih tertancap pada
wajah Dannia. Namun pertanyaannya hanya di pandang sepi. Dannia langsung tidak
menghiraukan kelibatnya yang berada di ruang tamu. Sebaliknya gadis itu
langsung tidak menghiraukannya, matanya tertancap pada televisyen yang
terpasang di hadapannya. Hanna tahu Dannia sebenarnya termenung, bukannya
menonton. Dannia masih lagi membatu, malah menguatkan volume suara.
Hanna terkedu sendiri. Reaksi Dannia
sedikit sebanyak membuatkannya bertambah bingung dan berjauh hati. Sepanjang
mereka berkawan, inilah kali pertama Dannia memperlihatkan perangai yang satu
itu, gadis itu seperti berada di alam lain. Namun cepat sahaja dia memikirkan
hal positif, perasaan terasa di singkirkan jauh dari hatinya. Mungkin kawannya
itu berada di dalam kesusahan.
“Nia..” sekali lagi Hanna memanggil
Dannia.
“Hanna please, I need to be alone” tanpa senyuman yang terukir di bibir,
Dannia menutup mematikan televisyen dan terus mendaki tangga menuju ke
biliknya. Hanna memandang langkah Dannia dengan ekor matanya. Lesu sungguh dia
melihat gadis itu berjalan mendaki tangga, di tambah dengan bajunya yang
serabai.
Hanna membontoti langkah Dannia
menuju ke bilik. Ingin mengetahui apa yang mengganggu fikiran sahabat baiknya.
Bukan mahu menyibuk, tetapi ingin mengetahui apa yang membuatkan Dannia berkelakuan
seperti itu. Dia tidak senang hati jika melihat sahabat karibnya murung
sebegitu.
Dannia yang masih belum menyedari
keadaan sekeliling terus sahaja mengalirkan air mata. Ternyata dia tidak cukup
kuat untuk memendam perasaan dan masalah itu seorang diri. Air matanya di seka
perlahan. Air matanya begitu banyak tumpah kerana lelaki itu. Hatinya cukup
perit. Harith kembali dalam hidupnya untuk menyeksa kembali.? Cukup kuatkah dia
untuk bertahan?
No comments:
Post a Comment